Isu Perceraian: Punca dan Kesan Negatif Terhadap
Pembentukan Insaniah Anak-Anak
Nurul ‘Aqidah Binti Moklis
Pusat Kajian Pengurusan
Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia
11800, Pulau Pinang
Artikel ini
ditulis bertujuan untuk memenuhi tugasan penulisan blog bagi kursus SZW 502 (Pembangunan
Insaniah Untuk Pengurus Aset). Artikel ini merangkumi lima bahagian. Pertama,
pendahuluan mengenai isu; kedua, punca perceraian dan huraiannya; ketiga, kesan
psikologikal. Terdapat dua kesan psikologikal iaitu terhadap pasangan yang
bercerai dan terhadap anak-anak. Keempat, kesan negatif perceraian terhadap
pembentukan insaniah anak-anak dan kelima, kesimpulan iaitu rumusan kepada
keseluruhan perbincangan.
Pendahuluan
Sejak kebelakangan ini, isu perceraian di Malaysia
semakin kerap berlaku. Hal ini berlaku dalam kalangan selebriti Malaysia sejak beberapa
tahun yang lalu. Antara selebriti Malaysia yang bercerai seperti pasangan Rita
Rudaini dengan Aidil Zafuan (Kosmo Online, 2012)[1], pasangan
Chef Riz atau nama sebenar Mohd. Nadzri Redzuawan dengan pelakon Ana Dahlia (Yusman
Awang, 2012)[2], pasangan Erra Fazira
dengan Engku Imran (Mohd Al Qayum Azizi, 2014)[3] dan
seorang produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman dengan Mohd Eddie Ghazali (Fride
Hikmet Atak, 2014)[4]. Sesetengah selebriti, perceraian
tersebut merupakan perceraian kali kedua baginya. Oleh kerana skop pekerjaan
seorang selebriti tempatan ini melibatkan masyarakat sebagai penonton,
penyokong atau peminat, maka golongan ini begitu dikenali oleh kebanyakan orang.
Oleh yang demikian, isu perceraian yang berlaku dalam kalangan mereka juga tersebar
dengan meluas seluruh Malaysia melalui media elektronik dan media cetak seperti
televisyen, majalah dan surat khabar. Seterusnya, berita perceraian tersebut menjadi
bualan masyarakat. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa isu
perceraian di Malaysia semakin membimbangkan.
Berdasarkan statistik daripada Jabatan Kehakiman
Syariah Malaysia (JKSM)[5],
jumlah kes perceraian pasangan Islam didaftar di Mahkamah Syariah seluruh negara
dari tahun 2003 hingga 31 Disember 2013 adalah sebanyak 581,505 kes. Kes
penceraian pada tahun 2012 adalah sebanyak 47,779 kes manakala pada tahun 2011
pula sebanyak 43,137 kes. Jenis perceraian tersebut meliputi tuntutan fasakh[6] (pembubaran
perkahwinan), pengesahan lafaz cerai, cerai taklik[7] (perceraian
kerana melanggar perjanjian), cerai khulu’[8] (tebus
talak) dan pengesahan cerai di luar mahkamah. Menurut Dr Asyraf Wajdi Dasuki, Yang
Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyatakan secara purata
perceraian adalah antara 2,000 hingga 2,500 kes setiap bulan (Wan Kemat, 2014)[9]. Tambahan
lagi, menurut Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syarie, Tan Sri Dr Ibrahim
Lembut[10]
bahawa kebanyakan kes perceraian berlaku kepada pasangan muda yang berusia 35
tahun dan ke bawah. Selain itu, negeri yang mencatat permohonan pendaftaran
perceraian tertinggi adalah Selangor, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.
Negeri yang mencatatkan kes perceraian paling rendah pula adalah Perlis, Melaka
dan Sarawak.
Punca perceraian
Menurut Tan Sri Dr Ibrahim Lembut[11],
terdapat tujuh perkara yang menjadi punca utama berlakunya perceraian dalam
kalangan pasangan beragama Islam. Antaranya ialah kekurangan ilmu agama, faktor seksual, kewujudan pihak ketiga, pasangan tidak bertanggungjawab, masalah kesihatan, tidak berakhlak dan masalah ekonomi.
1. Kekurangan ilmu agama.
Pasangan yang kurang ilmu agama menunjukkan bahawa
pasangan tersebut kekurangan pengetahuan mengenai perkahwinan termasuk
tanggungjawab dan peranan suami isteri yang dituntut syarak. Agama merupakan
tunggak dalam sesebuah institusi. Tanpa pegangan agama, sebuah istitusi itu
akan lemah dan goyah terutamanya apabila menghadapi cabaran dan dugaan dalam
perkahwinan. Akibatnya, pasangan yang kurang ilmu agama akan mudah berputus asa
dalam menghadapi dugaan. Seterusnya, bertindak dengan mengambil jalan mudah
untuk menyelesaikan masalah melalui perceraian.
2. Faktor seksual.
Antara contoh
faktor seksual ini seperti pasangan bersikap dingin, tiada kepelbagaian dalam
seks dan tiada kepuasan seks (Hayati Ibrahim, Nazdy Harun dan Juniadi Ladjana,
2014). Faktor keperluan seks tidak dapat dipenuhi ini menyebabkan salah seorang
daripada pasangan merasakan bahawa kebahagiaan tidak lagi dikecapi. Hal ini
juga menjadi alasan untuk pasangan tersebut mencari kekasih lain yang dapat
memenuhi keinginannya. Seterusnya, hal ini menimbulkan perbalahan dan akhirnya menyebabkan
perceraian.
3. Kewujudan pihak ketiga.
Setiap perkahwinan pasti akan melalui pelbagai
dugaan dan mungkin menyebabkan pertengkaran sesama pasangan. Lazimnya pasangan
suami isteri akan menghadapi beberapa konflik seperti percanggahan pendapat,
cemburu buta atau perbalahan yang disebabkan hal yang remeh. Walaupun begitu,
perbalahan ini menjadi serius apabila melibatkan kewujudan pihak ketiga. Menurut
Tan Sri Ibrahim Lembut (2014)[12],
pihak ketiga bukan hanya merujuk kepada orang luar atau kekasih, tetapi juga
ahli keluarga, saudara mara dan sahabat. Tambahan lagi, kajian daripada Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia mendapati bahawa peratusan tertinggi perceraian kerana
wujudnya pihak ketiga adalah disebabkan campur tangan keluarga, diikuti pasangan
yang bermain “kayu tiga” dan campur tangan saudara mara. Kebiasaannya, apabila perbalahan
melibatkan ahli keluarga pasangan akan lebih cenderung mempertahankan ahli
keluarganya. Seterusnya, mengakibatkan perbalahan berpanjangan dalam tempoh
yang sehingga menjadi punca berlakunya perceraian. Walau bagaimanapun, kewujudan
orang ketiga perlu dihadapi dengan berhikmah untuk mengelakkan berlakunya perceraian.
4. Pasangan yang tidak bertanggungjawab.
Peranan suami dan isteri adalah penting dalam
kehidupan berumahtangga. Sememangnya, setiap pasangan mempunyai kelemahan
masing-masing, namun begitu kelemahan tersebut boleh dihadapi dengan adanya
tolak ansur dan saling memahami. Setiap pasangan berperanan menjalankan
tanggungjawab dengan sebaiknya supaya perkahwinan sentiasa harmoni dan bahagia.
Walaupun begitu, terdapat juga sesetengah pasangan yang tidak bertanggungjawab
seperti tidak bekerja, tidak prihatin dalam menguruskan anak-anak atau tiada
tolak ansur dalam urusan kerja rumah. Lazimnya perkara tersebut merujuk kepada
sikap pihak suami sebagai ketua keluarga. Tidak dinafikan bahawa urusan memberi
nafkah keluarga adalah tanggungjawab suami, manakala urusan kerja rumah dan
anak-anak adalah tanggungjawab isteri. Namun begitu, setiap pasangan perlu
bertolak ansur dan saling membantu dalam menjalankan tanggungjawab
masing-masing demi kebaikan perkahwinan dan keluarganya. Oleh yang demikian,
pengabaian tanggungjawab ini menjadi punca perceraian berlaku.
5. Masalah kesihatan.
Menurut
Marzulina Omar (2003), antara masalah kesihatan yang membawa kepada perceraian
adalah penyakit yang menghalang daripada berlakunya hubungan intim dengan
pasangan. Sebagai contoh, lumpuh, sakit tua, ketahanan badan yang lemah
menyebabkan sering mendapat sakit, menghidap penyakit AIDS atau HIV. Sekiranya
salah seorang daripada pasangan suami isteri menghadapi masalah kesihatan tersebut,
maka hubungan intim suami isteri tidak dapat dilakukan. Kemungkinan juga pasangan
ini sukar untuk memperolehi zuriat. Hal ini boleh membawa kepada perceraian
kerana ia merupakan penyakit yang sukar diubati.
6. Tidak berakhlak.
Berakhlak merupakan salah satu elemen penting dalam
perhubungan. Selain itu, berakhlak juga dituntut dalam Islam sebagaimana akhlak
Rasulullah SAW[13]. Pasangan yang sentiasa
menjaga akhlak dan perlakuannya dapat menjamin keharmonian keluarganya. Sebagai
contoh, saling bertolak-ansur, memahami, menjaga perasaan dan sentiasa
mengelakkan pergaduhan. Hal ini berbeza dengan pasangan yang tidak berakhlak
dan terlalu bersosial. Kebanyakan pasangan tersebut akan saling menyakiti hati
pasangannya sehingga menyebabkan perbalahan dan bermasam-muka. Jika keadaan
tersebut berlarutan, maka perbalahan yang lebih serius akan berlaku. Maka, keadaan
tersebut boleh menyebabkan perceraian.
7. Masalah ekonomi.
Masalah ini merujuk kepada status kewangan pasangan
suami isteri. Kewangan merupakan salah satu perkara yang penting untuk memenuhi
keperluan hidup. Tanpa kewangan yang cukup dan stabil, maka keperluan seseorang
juga tidak dapat dipenuhi dengan sempurna. Oleh itu, faktor ekonomi dan kewangan
adalah penting dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Perceraian yang berlaku
disebabkan oleh masalah ekonomi lazimnya cenderung kepada status ekonomi suami
atau bapa. Hal ini kerana suami merupakan ketua keluarga dan perlu menyara
keluarga. Jika status ekonomi tidak
stabil atau bermasalah, maka kehidupan keluarganya juga akan menghadapi
masalah. Sekiranya masalah ekonomi ini berpanjangan dan semakin serius,
kehidupan rumahtangga menjadi tidak terurus. Masalah ini memberi tekanan kepada
pihak isteri dan keluarga yang lain sehingga mengambil keputusan untuk
bercerai.
Walaupun begitu, perceraian tidak hanya disebabkan
perkara negatif. Perceraian juga merupakan salah satu penyelesaian masalah bagi
sesebuah institusi keluarga. Terdapat sesetengah pasangan yang tidak mengecapi
kebahagian semasa tempoh perkahwinannya walaupun setelah berbagai usaha
dilakukan, maka perceraian merupakan langkah terbaik untuk perbetulkan keadaan.
Namun begitu, perceraian perlu dilakukan secara baik. Berdasarkan firman Allah
SWT yang bermaksud, “Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka
mendekati edahnya, maka rujukilah mereka dengan cara yang makruf, atau
ceraikanlah mereka dengan cara yang makruf (pula)” (al-Baqarah, 2:321). Tambahan
lagi, perceraian juga bertujuan untuk mengurangkan penderitaan akibat
perbalahan berterusan antara pasangan (Siti Rohani Suriani, 2014).
Kesan psikologikal terhadap pasangan yang bercerai
Berdasarkan isu tersebut, perceraian juga memberi
kesan sama ada positif atau negatif kepada sesebuah institusi keluarga. Menurut
Fariz Sakina Abdullah (2013), perceraian antara pasangan akan menyebabkan kesan
besar kepada pasangan tersebut dan seterusnya mempengaruhi anak-anak. Lazimnya,
kesan tersebut cederung kepada kesan negatif iaitu kesan psikologikal terhadap
corak dan gaya keibubapaan keluarga. Secara umunya, pasangan yang bercerai akan
mengalami gangguan emosi seperti bersedih, memendam perasaan dan bermurung. Hal
ini disebabkan perpisahan yang berlaku antara pasangannya. Individu yang
bercerai akan bertukar status menjadi ibu atau bapa tunggal, maka beban
tanggungan akan bertambah dan urusan keluarga terpaksa dilakukan sendirian.
Bebanan ini menyebabkan individu tersebut hilang keyakinan dan mudah berputus
asa. Seterusnya, individu tersebut akan kehilangan fokus dan perhatian terhadap
keadaan sekeliling termasuk pekerjaan, anak-anak dan tanggungjawab yang lain. Prestasi
kerja juga akan terjejas sehingga boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan. Kehilangan
ini mengakibatkan timbulnya masalah lain seperti masalah kewangan. Gangguan dan
tekanan ini memberi kesan yang lebih buruk terhadap perwatakan dan kelakuan individu
yang bercerai ini. Antarannya adalah menjadi seorang yang pemarah dan beremosi.
Kesan daripada itu, kebiasaanya anak-anak akan menjadi mangsa untuk melepaskan
tekanan yang dihadapi seperti memukul dan memarahi anak-anak secara melampau
apabila anak-anak melakukan kesilapan. Selain itu, segala keperluan dan
perhatian terhadap anak-anak terabai. Hal ini membawa kepada kes penderaan dan
memberi kesan psikologikal yang buruk kepada anak-anak.
Kesan psikologikal terhadap anak-anak
Rentetan itu, kesan psikologikal yang buruk terhadap
anak-anak akibat perceraian ibubapa akan membentuk pembangunan insaniahnya.
Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian ibubapa akan kehilangan kasih sayang
daripada kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya. Sesetengah keluarga,
anak-anak terpaksa berpisah dengan adik-beradik yang lain kerana mengikut ibu
atau bapanya. Hal ini akan menyebabkan anak-anak menjadi lebih kesunyian dan
murung. Hukuman melampau yang diterima daripada ibu atau bapa apabila anak-anak
melakukan kesalahan menyebabkan anak-anak berasa tidak selamat dan rasa tidak
disayangi. Hal ini menyebabkan tekanan emosi yang buruk dan seterusnya
membentuk pembangunan insaniah yang negatif sama ada terhadap peribadi dan
sikap anak-anak tersebut.
Kesan perceraian terhadap pembentukan insaniah
anak-anak
Perceraian memberi kesan negatif terhadap pasangan
suami isteri tersebut dan mempengaruhi pembentukan insaniah anak-anak. Terdapat
lima kesan negatif terhadap pembentukan insaniah anak-anak akibat daripada
perceraian ibubapa.
1. Bersifat pemurung dan merendah diri.
Sesetengah perceraian suami isteri berlaku
disebabkan masalah kewangan kerana ketidakmampuan pasangan tersebut menanggung
dan menyara hidup keluarga dan anak-anak. Hal ini akan menyebabkan pasangan
tersebut sering bertengkar dan saling menyalahi antara mereka. Anak-anak yang
telah dewasa akan tersepit dengan keadaan tersebut dan merasakan bahawa mereka
juga merupakan punca pertengkaran tersebut. Pertengkaran yang membawa
perceraian akan menyebabkan anak-anak merasa bersalah dan bermurung. Kesan
daripada perasaan tersebut akan membawa kesan negatif terhadap pembentukan
insaniah anak-anak. Perwatakan anak-anak akan berubah menjadi kurang
berkeyakinan, rendah diri dan anti-sosial. Selain itu, anak-anak juga akan
menjadi seorang yang memendam perasaan dan lebih cenderung untuk tidak
berkongsi dengan orang lain. Kesan-kesan negatif ini akan menjejaskan masa
depan anak-anak tersebut untuk berhadapan dengan masyarakat pada masa akan
datang. Oleh yang demikian, pembentukan insaniah yang pemurung dan rendah diri
akan mengakibatkan masalah lain seperti kesukaran berkomunikasi dan
berinteraksi orang lain, mudah ditindas atau dibuli dan menjadi seorang yang
beremosi.
2. Memupuk sikap pemarah dan pembuli.
Lazimnya, anak-anak
yang kerap dihukum dan dimarahi akan menjadi seorang yang pendendam dan
pemarah. Setiap kali menerima hukuman seperti dirotan dan dimarahi, anak-anak
akan berdiam diri dan memendam perasaan. Hal ini kerana rasa hormat dan rasa
takut yang melampau kepada ibu atau bapa mereka yang sedang bermasalah. Kesannya,
anak-anak ini mengalami tekanan emosi yang teruk dan membawa kesan negatif
terhadap pembentukan insaniahnya. Oleh yang demikian, sesetengah anak-anak
meluahkan perasaannya melalui perbuatan dan sikap panas baran atau pemarah
kepada orang lain. Antara contohnya adalah menjadi seorang yang suka membuli
rakan-rakan sebaya di sekolah. Anak-anak ini membuli rakan sebaya yang lemah
dan mudah ditindas. Selain itu, tekanan ini juga boleh mewujudkan gejala
vandalisme kepada kemudahan awam seperti menconteng papan tanda, dinding
bangunan dan merosakkan tong sampah awam.
3. Hilang tumpuan dan perhatian dalam pelajaran.
Perceraian menyebabkan ibu atau bapa menjadi seorang
yang sensitif, beremosi dan pemarah. Tambahan lagi, tanggungjawab yang
bertambah sebagai ibu bapa tunggal semakin memberi tekanan kepada mereka. Hal
ini menjejaskan hubungan antara ibubapa dengan anak-anak. Sebagai anak-anak
yang sedang meningkat dewasa, ibubapa sepatutnya memberikan sokongan dan
perhatian. Namun, tekanan daripada perceraian menyebabkan ibubapa lebih
cenderung memberi kata perintah, kata-kata kesat dan kasar serta hukuman yang
melampau. Hal ini bukan hanya menjadi memberi
tekanan kepada ibu bapa tersebut, malah anak-anak turut menjadi tertekan dengan
keadaan yang berlaku. Suasana rumah menjadi tidak kondusif, ibu atau bapa pula
sentiasa memberi tekanan dan memarahi tanpa alasan yang kukuh menyebabkan
anak-anak tidak dapat menumpukan pelajaran. Tambahan lagi, anak-anak menjadi
malas dan hilang semangat untuk belajar. Seterusnya, anak-anak akan ketinggalan
dalam pelajaran dan prestasi pelajarannya merosot,
4. Kurang didikan dan pegangan agama.
Perceraian ibubapa menyebabkan anak-anak kekurangan
kasih sayang dan perhatian. Peranan sebagai ibubapa tunggal menyebabkan ibubapa
tersebut lebih mementingkan aspek kewangan dan material. Hal ini kerana untuk
menjamin keperluan keluarga yang perlu ditanggung dan dipenuhi. Namun begitu, tanggungjawab
kepada anak-anak terabai termasuk dari aspek kasih sayang dan pendidikan.
Kesannya, anak-anak akan kekurangan didikan terutamanya didikan agama. Apabila
tiada didikan dan pengetahuan agama, maka anak-anak cenderung melakukan perkara
yang sia-sia. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian akan kekurangan kasih
sayang dan rasa dipinggirkan. Seterusnya, menyebabkan jiwa anak-anak kurang
didasari dengan agama. Anak-anak ini akan mencari altenatif lain untuk
meluahkan kekecewaannya seperti lari dari rumah, terjebak dengan gejala sosial
dan pengambilan pil khayal atau dadah untuk melupakan masalah. Kesan ini
menunjukkan bahawa pembentukan insaniah anak-anak adalah negatif akibat
daripada perceraian ibu bapanya.
5. Mudah terpengaruh dengan perkara yang sia-sia.
Rentetan daripada kurang pegangan agama, maka
anak-anak akan mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat seperti
merokok, ponteng sekolah dan merempit. Hal ini juga berpunca daripada pengaruh
rakan sebaya yang tidak bermoral dan perasaan ingin mencuba perkara baru. Ibu
atau bapa tunggal sentiasa sibuk untuk mencari nafkah untuk menyara keluarga,
maka ibu atau bapa tersebut tiada masa untuk memantau aktiviti harian anak-anak
termasuk pemilihan rakan sebayanya. Sesetengah anak-anak terlibat dengan
perkara yang tidak bermoral ini adalah untuk mendapatkan perhatian daripada
ibubapa semata-mata. Selain itu, kekurangan kasih sayang daripada ibubapa juga menyebabkan
anak-anak mencari kasih sayang diluar rumah seperti mencari teman lelaki dan
bersosial dengan rakan-rakan sebaya. Akibat aktiviti bersosial dan pergaulan bebas
ini mengundang kepada masalah hubungan seks rambang dan anak luar nikah. Oleh
yang demikian, masalah perceraian ibu bapa menyebabkan anak-anak mudah
terpengaruh kerana tiada pemantauan dan didikan yang cukup daripada ibu bapa.
Walaupun begitu, perceraian juga memberi kesan
positif kepada sesetengah anak-anak. sebagai contoh, perceraian ibubapa
menyebabkan anak-anak menjadi lebih berdikari. Anak-anak yang berfikiran
positif akan membina jati diri supaya lebih berdikari dan tidak membebankan ibu
atau bapanya yang sedang bermasalah. Selain itu, anak-anak yang tinggal bersama
ibu (ibu tunggal disebabkan perceraian) akan berusaha untuk berjaya dan
mengubah kehidupan keluarganya menjadi lebih baik. Oleh yang demikian,
anak-anak yang menjadi mangsa perceraian juga mampu menjadi anak-anak yang
berjaya dan berdikari.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan tersebut, dapat
disimpulkan bahawa perceraian berpunca daripada pelbagai faktor dan ia membawa
kepada kesan sama ada negatif atau positif. Lazimnya, anak-anak yang menjadi
mangsa perceraian menyebabkan pembentukan insaniahnya bersifat negetif. Walaupun
begitu, perceraian juga tidak hanya berpunca daripada perkara negatif, tetapi
terjadi kerana untuk mengelakkan pasangannya terus menderita diatas perkahwinan
tersebut. Namun, perceraian bukanlah salah penyelesaian masalah yang terbaik.
Sebagaimana Hadith riwayat daripada Ibnu Umar daripada Nabi Muhammad SAW
bersabda, “Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak” (Riwayat Abu Daud
dan Hakim). Oleh yang demikian, pasangan suami isteri perlu berusaha
mengelakkan perceraian. Pelbagai langkah untuk mengatasi perceraian boleh
dilakukan seperti mendalami ilmu agama dan pengetahuan mengenai perkahwinan,
mengubah sikap menjadi lebih baik, menghadapi setiap cabaran dan masalah dengan
tenang serta memperbaiki komunikasi antara pasangan. Hal ini dapat mengelakkan
perceraian berlaku supaya anak-anak tidak menjadi mangsa perceraian. Ibu bapa
perlu berusaha membina sebuah keluarga yang sakinah supaya dapat membimbing
anak-anak yang baik dan seterusnya dapat membentuk insaniah yang cemerlang.
Bibliografi
Fatin Hafizah
Mohd Shahar (2014, Februari 25). Krisis
Hadanah Selepas Cerai. Berita Harian, pp.1.
Fariz Sakina
Abdullah (2013). Perceraian dan
Perpisahan. Kementerian Kesihatan Malaysia. Diakses daripada http://www.myhealth.gov.my/index.php/perceraian-dan-perpisahan
pada 14 November 2014.
Fride
Hikmet Atak (2014, November 12). Ditegur
Suami Penyebab Perceraian Raja Azmi. Mstar Online. Diakses daripada http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2014/11/12/punca-cerai-raja-azmi/
pada 17 November 2014.
Hemananthani
Sivanandam, Ng Si Hooi & A. Raman (2014, April 16). Women Being Divorced Over Frivolous Reasons. Star.
Kosmo Online (2012, Februari 8). Rita Enggan Hipokrit. Diakses daripada
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0208&pub=kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm
pada 14 November 2014.
Marzulina Omar
(2003, November). Perkara Halal Yang
Paling Dibenci Allah. Majalah Sinar Rohani.
Mohd Al Qayum Azizi (2014,
Februari 18). Erra Fazira Dan Engku Emran
Cerai, Suami Dapat Hak Penjagaan Anak. Mstar Online. Diakses daripada
http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2014/02/18/erra-fazira--engku-emran-cerai-suami-dapat-hak-penjagaan-anak/
pada 14 November 2014.
Muhd Izawan
Baharin, Hayati Ibrahim, Amir Abd Hamid & Mohd Husni Mohd Noor (2014, April
15). Tujuh Perkara Dorong Cerai.
Harian Metro, pp.9.
Nurhidayah
Hashim (2014, Jun 26). Pasangan Bercerai
Patut Utama Kebajikan Anak. Berita Harian, pp.38.
Nooraziah Mohd
(2014, Februari 26). Jenayah Aniaya
Isteri. Utusan Malaysia, pp.11.
Norsaleha Mohd
Saleh (2013). Keluarga Di
Syurga:Perceraian Perkara Halal Dibenci Allah. Majalah Iman, hlm.48-49.
Bil.31.
Siti Rohani
Suriani (2014, Ogos 28). Usah Pandang
Serong Perceraian. Berita Harian.
t.n. (2014, Jun
4). Pihak Ketiga Rosak Perkahwinan Boleh
Didakwa. Berita Harian.
t.n. (t.t).
Perceraian, Nafkah dan Harta. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau
Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993). Diakses daripada http://www.wccpenang.org/files/docs/syariah-divorce-bm.pdf
pada 14 November 2014.
Utusan Online (2011,
Mac 3). Rekod JAKIM: Setiap 15 Minit Satu
Pasangan Bercerai. Diakses daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0304&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm
pada 13 November 2014.
Wan Kemat (2014,
Mac 25). 25,000 Pasangan Bercerai Setiap
Tahun: YADIM. Berita Harian.
Yusman
Awang
(2012, November 8). Chef Riz Mengaku
Sudah Bercerai. Kosmo.
[1]Sumber dipetik daripada Kosmo
Online Edisi 8 Februari 2012.
[2]Sumber dipetik daripada Kosmo
Online Edisi 8 November 2012.
[3]Sumber dipetik daripada Mstar
Online Edisi 18 Februari 2014.
[4]
Sumber dipetik daripada
Mstar Online Edisi 12 November 2014.
[5]
Sumber dipetik daripada
Muhd Izawan Baharin, Hayati Ibrahim, Amir Abd Hamid & Mohd Husni Mohd Noor
(2014). Harian Metro Edisi 15 April 2014.
[6]
Fasakh boleh dipohon jika
suami melakukan kesalahan tertentu (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau
Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993)).
[7] Taklik adalah perjanjian
perkahwinan yang dilafazkan oleh suami semasa akad nikah. Jika suami melanggar
taklik, maka hal ini boleh dilaporkan kepada mahkamah. Sekiranya mahkamah
mendapati suami mengingkari taklik menyebabkan perkahwinan boleh dibubarkan
dengan satu talaq (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985 (Pindaan
Tahun 1993)).
[8]
Isteri boleh menawarkan pampasan
kepada suami sebagai balasan melafazkan talaq. Jumlah pampasan tertakluk kepada
persetujuan isteri dan suami dengan diadili oleh mahkamah (Enakmen
Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993)).
[9]Sumber dipetik
daripada Berita Harian Edisi 25 Mac 2014.
[10] Sumber dipetik daripada Metro
Ahad Edisi 12 Januari 2014. Hlm 18.
[11] Sumber dipetik daripada Muhd
Izawan Baharin, Hayati Ibrahim, Amir Abd Hamid & Mohd Husni Mohd Noor (2014).
Harian Metro Edisi 15 April 2014.
[12] Sumber dipetik daripada Berita
Harian Edisi 4 Jun 2014. Hlm.10.
[13] Akhlak Rasulullah SAW yang
disebutkan dalam al-Qur’an. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan
(balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati
Allah (dalam masa susah dan senang)” (al-Ahzab,
33:21).