Monday 17 November 2014

Isu Perceraian: Punca dan Kesan Negatif Terhadap Pembentukan Insaniah Anak-Anak




Isu Perceraian: Punca dan Kesan Negatif Terhadap Pembentukan Insaniah Anak-Anak

Nurul ‘Aqidah Binti Moklis
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia
11800, Pulau Pinang

Artikel ini ditulis bertujuan untuk memenuhi tugasan penulisan blog bagi kursus SZW 502 (Pembangunan Insaniah Untuk Pengurus Aset). Artikel ini merangkumi lima bahagian. Pertama, pendahuluan mengenai isu; kedua, punca perceraian dan huraiannya; ketiga, kesan psikologikal. Terdapat dua kesan psikologikal iaitu terhadap pasangan yang bercerai dan terhadap anak-anak. Keempat, kesan negatif perceraian terhadap pembentukan insaniah anak-anak dan kelima, kesimpulan iaitu rumusan kepada keseluruhan perbincangan.

Pendahuluan
Sejak kebelakangan ini, isu perceraian di Malaysia semakin kerap berlaku. Hal ini berlaku dalam kalangan selebriti Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Antara selebriti Malaysia yang bercerai seperti pasangan Rita Rudaini dengan Aidil Zafuan (Kosmo Online, 2012)[1], pasangan Chef Riz atau nama sebenar Mohd. Nadzri Redzuawan dengan pelakon Ana Dahlia (Yusman Awang, 2012)[2], pasangan Erra Fazira dengan Engku Imran (Mohd Al Qayum Azizi, 2014)[3] dan seorang produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman dengan Mohd Eddie Ghazali (Fride Hikmet Atak, 2014)[4]. Sesetengah selebriti, perceraian tersebut merupakan perceraian kali kedua baginya. Oleh kerana skop pekerjaan seorang selebriti tempatan ini melibatkan masyarakat sebagai penonton, penyokong atau peminat, maka golongan ini begitu dikenali oleh kebanyakan orang. Oleh yang demikian, isu perceraian yang berlaku dalam kalangan mereka juga tersebar dengan meluas seluruh Malaysia melalui media elektronik dan media cetak seperti televisyen, majalah dan surat khabar. Seterusnya, berita perceraian tersebut menjadi bualan masyarakat. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa isu perceraian di Malaysia semakin membimbangkan. 

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)[5], jumlah kes perceraian pasangan Islam didaftar di Mahkamah Syariah seluruh negara dari tahun 2003 hingga 31 Disember 2013 adalah sebanyak 581,505 kes. Kes penceraian pada tahun 2012 adalah sebanyak 47,779 kes manakala pada tahun 2011 pula sebanyak 43,137 kes. Jenis perceraian tersebut meliputi tuntutan fasakh[6] (pembubaran perkahwinan), pengesahan lafaz cerai, cerai taklik[7] (perceraian kerana melanggar perjanjian), cerai khulu[8] (tebus talak) dan pengesahan cerai di luar mahkamah. Menurut Dr Asyraf Wajdi Dasuki, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyatakan secara purata perceraian adalah antara 2,000 hingga 2,500 kes setiap bulan (Wan Kemat, 2014)[9]. Tambahan lagi, menurut Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syarie, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut[10] bahawa kebanyakan kes perceraian berlaku kepada pasangan muda yang berusia 35 tahun dan ke bawah. Selain itu, negeri yang mencatat permohonan pendaftaran perceraian tertinggi adalah Selangor, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan. Negeri yang mencatatkan kes perceraian paling rendah pula adalah Perlis, Melaka dan Sarawak.

Punca perceraian
Menurut Tan Sri Dr Ibrahim Lembut[11], terdapat tujuh perkara yang menjadi punca utama berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan beragama Islam. Antaranya ialah kekurangan ilmu agama, faktor seksual, kewujudan pihak ketiga, pasangan tidak bertanggungjawab, masalah kesihatan, tidak berakhlak dan masalah ekonomi.

1. Kekurangan ilmu agama.
Pasangan yang kurang ilmu agama menunjukkan bahawa pasangan tersebut kekurangan pengetahuan mengenai perkahwinan termasuk tanggungjawab dan peranan suami isteri yang dituntut syarak. Agama merupakan tunggak dalam sesebuah institusi. Tanpa pegangan agama, sebuah istitusi itu akan lemah dan goyah terutamanya apabila menghadapi cabaran dan dugaan dalam perkahwinan. Akibatnya, pasangan yang kurang ilmu agama akan mudah berputus asa dalam menghadapi dugaan. Seterusnya, bertindak dengan mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah melalui perceraian.

2. Faktor seksual.
 Antara contoh faktor seksual ini seperti pasangan bersikap dingin, tiada kepelbagaian dalam seks dan tiada kepuasan seks (Hayati Ibrahim, Nazdy Harun dan Juniadi Ladjana, 2014). Faktor keperluan seks tidak dapat dipenuhi ini menyebabkan salah seorang daripada pasangan merasakan bahawa kebahagiaan tidak lagi dikecapi. Hal ini juga menjadi alasan untuk pasangan tersebut mencari kekasih lain yang dapat memenuhi keinginannya. Seterusnya, hal ini menimbulkan perbalahan dan akhirnya menyebabkan perceraian. 

3. Kewujudan pihak ketiga.
Setiap perkahwinan pasti akan melalui pelbagai dugaan dan mungkin menyebabkan pertengkaran sesama pasangan. Lazimnya pasangan suami isteri akan menghadapi beberapa konflik seperti percanggahan pendapat, cemburu buta atau perbalahan yang disebabkan hal yang remeh. Walaupun begitu, perbalahan ini menjadi serius apabila melibatkan kewujudan pihak ketiga. Menurut Tan Sri Ibrahim Lembut (2014)[12], pihak ketiga bukan hanya merujuk kepada orang luar atau kekasih, tetapi juga ahli keluarga, saudara mara dan sahabat. Tambahan lagi, kajian daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendapati bahawa peratusan tertinggi perceraian kerana wujudnya pihak ketiga adalah disebabkan campur tangan keluarga, diikuti pasangan yang bermain “kayu tiga” dan campur tangan saudara mara. Kebiasaannya, apabila perbalahan melibatkan ahli keluarga pasangan akan lebih cenderung mempertahankan ahli keluarganya. Seterusnya, mengakibatkan perbalahan berpanjangan dalam tempoh yang sehingga menjadi punca berlakunya perceraian. Walau bagaimanapun, kewujudan orang ketiga perlu dihadapi dengan berhikmah untuk mengelakkan berlakunya perceraian.

4. Pasangan yang tidak bertanggungjawab.
Peranan suami dan isteri adalah penting dalam kehidupan berumahtangga. Sememangnya, setiap pasangan mempunyai kelemahan masing-masing, namun begitu kelemahan tersebut boleh dihadapi dengan adanya tolak ansur dan saling memahami. Setiap pasangan berperanan menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya supaya perkahwinan sentiasa harmoni dan bahagia. Walaupun begitu, terdapat juga sesetengah pasangan yang tidak bertanggungjawab seperti tidak bekerja, tidak prihatin dalam menguruskan anak-anak atau tiada tolak ansur dalam urusan kerja rumah. Lazimnya perkara tersebut merujuk kepada sikap pihak suami sebagai ketua keluarga. Tidak dinafikan bahawa urusan memberi nafkah keluarga adalah tanggungjawab suami, manakala urusan kerja rumah dan anak-anak adalah tanggungjawab isteri. Namun begitu, setiap pasangan perlu bertolak ansur dan saling membantu dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing demi kebaikan perkahwinan dan keluarganya. Oleh yang demikian, pengabaian tanggungjawab ini menjadi punca perceraian berlaku.

5. Masalah kesihatan.
 Menurut Marzulina Omar (2003), antara masalah kesihatan yang membawa kepada perceraian adalah penyakit yang menghalang daripada berlakunya hubungan intim dengan pasangan. Sebagai contoh, lumpuh, sakit tua, ketahanan badan yang lemah menyebabkan sering mendapat sakit, menghidap penyakit AIDS atau HIV. Sekiranya salah seorang daripada pasangan suami isteri menghadapi masalah kesihatan tersebut, maka hubungan intim suami isteri tidak dapat dilakukan. Kemungkinan juga pasangan ini sukar untuk memperolehi zuriat. Hal ini boleh membawa kepada perceraian kerana ia merupakan penyakit yang sukar diubati.

6. Tidak berakhlak.
Berakhlak merupakan salah satu elemen penting dalam perhubungan. Selain itu, berakhlak juga dituntut dalam Islam sebagaimana akhlak Rasulullah SAW[13]. Pasangan yang sentiasa menjaga akhlak dan perlakuannya dapat menjamin keharmonian keluarganya. Sebagai contoh, saling bertolak-ansur, memahami, menjaga perasaan dan sentiasa mengelakkan pergaduhan. Hal ini berbeza dengan pasangan yang tidak berakhlak dan terlalu bersosial. Kebanyakan pasangan tersebut akan saling menyakiti hati pasangannya sehingga menyebabkan perbalahan dan bermasam-muka. Jika keadaan tersebut berlarutan, maka perbalahan yang lebih serius akan berlaku. Maka, keadaan tersebut boleh menyebabkan perceraian.

7. Masalah ekonomi.
Masalah ini merujuk kepada status kewangan pasangan suami isteri. Kewangan merupakan salah satu perkara yang penting untuk memenuhi keperluan hidup. Tanpa kewangan yang cukup dan stabil, maka keperluan seseorang juga tidak dapat dipenuhi dengan sempurna. Oleh itu, faktor ekonomi dan kewangan adalah penting dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Perceraian yang berlaku disebabkan oleh masalah ekonomi lazimnya cenderung kepada status ekonomi suami atau bapa. Hal ini kerana suami merupakan ketua keluarga dan perlu menyara keluarga.  Jika status ekonomi tidak stabil atau bermasalah, maka kehidupan keluarganya juga akan menghadapi masalah. Sekiranya masalah ekonomi ini berpanjangan dan semakin serius, kehidupan rumahtangga menjadi tidak terurus. Masalah ini memberi tekanan kepada pihak isteri dan keluarga yang lain sehingga mengambil keputusan untuk bercerai.

Walaupun begitu, perceraian tidak hanya disebabkan perkara negatif. Perceraian juga merupakan salah satu penyelesaian masalah bagi sesebuah institusi keluarga. Terdapat sesetengah pasangan yang tidak mengecapi kebahagian semasa tempoh perkahwinannya walaupun setelah berbagai usaha dilakukan, maka perceraian merupakan langkah terbaik untuk perbetulkan keadaan. Namun begitu, perceraian perlu dilakukan secara baik. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati edahnya, maka rujukilah mereka dengan cara yang makruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang makruf (pula)” (al-Baqarah, 2:321). Tambahan lagi, perceraian juga bertujuan untuk mengurangkan penderitaan akibat perbalahan berterusan antara pasangan (Siti Rohani Suriani, 2014).


Kesan psikologikal terhadap pasangan yang bercerai
Berdasarkan isu tersebut, perceraian juga memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada sesebuah institusi keluarga. Menurut Fariz Sakina Abdullah (2013), perceraian antara pasangan akan menyebabkan kesan besar kepada pasangan tersebut dan seterusnya mempengaruhi anak-anak. Lazimnya, kesan tersebut cederung kepada kesan negatif iaitu kesan psikologikal terhadap corak dan gaya keibubapaan keluarga. Secara umunya, pasangan yang bercerai akan mengalami gangguan emosi seperti bersedih, memendam perasaan dan bermurung. Hal ini disebabkan perpisahan yang berlaku antara pasangannya. Individu yang bercerai akan bertukar status menjadi ibu atau bapa tunggal, maka beban tanggungan akan bertambah dan urusan keluarga terpaksa dilakukan sendirian. Bebanan ini menyebabkan individu tersebut hilang keyakinan dan mudah berputus asa. Seterusnya, individu tersebut akan kehilangan fokus dan perhatian terhadap keadaan sekeliling termasuk pekerjaan, anak-anak dan tanggungjawab yang lain. Prestasi kerja juga akan terjejas sehingga boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan. Kehilangan ini mengakibatkan timbulnya masalah lain seperti masalah kewangan. Gangguan dan tekanan ini memberi kesan yang lebih buruk terhadap perwatakan dan kelakuan individu yang bercerai ini. Antarannya adalah menjadi seorang yang pemarah dan beremosi. Kesan daripada itu, kebiasaanya anak-anak akan menjadi mangsa untuk melepaskan tekanan yang dihadapi seperti memukul dan memarahi anak-anak secara melampau apabila anak-anak melakukan kesilapan. Selain itu, segala keperluan dan perhatian terhadap anak-anak terabai. Hal ini membawa kepada kes penderaan dan memberi kesan psikologikal yang buruk kepada anak-anak.


Kesan psikologikal terhadap anak-anak
Rentetan itu, kesan psikologikal yang buruk terhadap anak-anak akibat perceraian ibubapa akan membentuk pembangunan insaniahnya. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian ibubapa akan kehilangan kasih sayang daripada kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya. Sesetengah keluarga, anak-anak terpaksa berpisah dengan adik-beradik yang lain kerana mengikut ibu atau bapanya. Hal ini akan menyebabkan anak-anak menjadi lebih kesunyian dan murung. Hukuman melampau yang diterima daripada ibu atau bapa apabila anak-anak melakukan kesalahan menyebabkan anak-anak berasa tidak selamat dan rasa tidak disayangi. Hal ini menyebabkan tekanan emosi yang buruk dan seterusnya membentuk pembangunan insaniah yang negatif sama ada terhadap peribadi dan sikap anak-anak tersebut.

Kesan perceraian terhadap pembentukan insaniah anak-anak
Perceraian memberi kesan negatif terhadap pasangan suami isteri tersebut dan mempengaruhi pembentukan insaniah anak-anak. Terdapat lima kesan negatif terhadap pembentukan insaniah anak-anak akibat daripada perceraian ibubapa. 

1. Bersifat pemurung dan merendah diri.
Sesetengah perceraian suami isteri berlaku disebabkan masalah kewangan kerana ketidakmampuan pasangan tersebut menanggung dan menyara hidup keluarga dan anak-anak. Hal ini akan menyebabkan pasangan tersebut sering bertengkar dan saling menyalahi antara mereka. Anak-anak yang telah dewasa akan tersepit dengan keadaan tersebut dan merasakan bahawa mereka juga merupakan punca pertengkaran tersebut. Pertengkaran yang membawa perceraian akan menyebabkan anak-anak merasa bersalah dan bermurung. Kesan daripada perasaan tersebut akan membawa kesan negatif terhadap pembentukan insaniah anak-anak. Perwatakan anak-anak akan berubah menjadi kurang berkeyakinan, rendah diri dan anti-sosial. Selain itu, anak-anak juga akan menjadi seorang yang memendam perasaan dan lebih cenderung untuk tidak berkongsi dengan orang lain. Kesan-kesan negatif ini akan menjejaskan masa depan anak-anak tersebut untuk berhadapan dengan masyarakat pada masa akan datang. Oleh yang demikian, pembentukan insaniah yang pemurung dan rendah diri akan mengakibatkan masalah lain seperti kesukaran berkomunikasi dan berinteraksi orang lain, mudah ditindas atau dibuli dan menjadi seorang yang beremosi.

2. Memupuk sikap pemarah dan pembuli.
 Lazimnya, anak-anak yang kerap dihukum dan dimarahi akan menjadi seorang yang pendendam dan pemarah. Setiap kali menerima hukuman seperti dirotan dan dimarahi, anak-anak akan berdiam diri dan memendam perasaan. Hal ini kerana rasa hormat dan rasa takut yang melampau kepada ibu atau bapa mereka yang sedang bermasalah. Kesannya, anak-anak ini mengalami tekanan emosi yang teruk dan membawa kesan negatif terhadap pembentukan insaniahnya. Oleh yang demikian, sesetengah anak-anak meluahkan perasaannya melalui perbuatan dan sikap panas baran atau pemarah kepada orang lain. Antara contohnya adalah menjadi seorang yang suka membuli rakan-rakan sebaya di sekolah. Anak-anak ini membuli rakan sebaya yang lemah dan mudah ditindas. Selain itu, tekanan ini juga boleh mewujudkan gejala vandalisme kepada kemudahan awam seperti menconteng papan tanda, dinding bangunan dan merosakkan tong sampah awam.

3. Hilang tumpuan dan perhatian dalam pelajaran.
Perceraian menyebabkan ibu atau bapa menjadi seorang yang sensitif, beremosi dan pemarah. Tambahan lagi, tanggungjawab yang bertambah sebagai ibu bapa tunggal semakin memberi tekanan kepada mereka. Hal ini menjejaskan hubungan antara ibubapa dengan anak-anak. Sebagai anak-anak yang sedang meningkat dewasa, ibubapa sepatutnya memberikan sokongan dan perhatian. Namun, tekanan daripada perceraian menyebabkan ibubapa lebih cenderung memberi kata perintah, kata-kata kesat dan kasar serta hukuman yang melampau.  Hal ini bukan hanya menjadi memberi tekanan kepada ibu bapa tersebut, malah anak-anak turut menjadi tertekan dengan keadaan yang berlaku. Suasana rumah menjadi tidak kondusif, ibu atau bapa pula sentiasa memberi tekanan dan memarahi tanpa alasan yang kukuh menyebabkan anak-anak tidak dapat menumpukan pelajaran. Tambahan lagi, anak-anak menjadi malas dan hilang semangat untuk belajar. Seterusnya, anak-anak akan ketinggalan dalam pelajaran dan prestasi pelajarannya merosot,

4. Kurang didikan dan pegangan agama.
Perceraian ibubapa menyebabkan anak-anak kekurangan kasih sayang dan perhatian. Peranan sebagai ibubapa tunggal menyebabkan ibubapa tersebut lebih mementingkan aspek kewangan dan material. Hal ini kerana untuk menjamin keperluan keluarga yang perlu ditanggung dan dipenuhi. Namun begitu, tanggungjawab kepada anak-anak terabai termasuk dari aspek kasih sayang dan pendidikan. Kesannya, anak-anak akan kekurangan didikan terutamanya didikan agama. Apabila tiada didikan dan pengetahuan agama, maka anak-anak cenderung melakukan perkara yang sia-sia. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian akan kekurangan kasih sayang dan rasa dipinggirkan. Seterusnya, menyebabkan jiwa anak-anak kurang didasari dengan agama. Anak-anak ini akan mencari altenatif lain untuk meluahkan kekecewaannya seperti lari dari rumah, terjebak dengan gejala sosial dan pengambilan pil khayal atau dadah untuk melupakan masalah. Kesan ini menunjukkan bahawa pembentukan insaniah anak-anak adalah negatif akibat daripada perceraian ibu bapanya. 

5. Mudah terpengaruh dengan perkara yang sia-sia.
Rentetan daripada kurang pegangan agama, maka anak-anak akan mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat seperti merokok, ponteng sekolah dan merempit. Hal ini juga berpunca daripada pengaruh rakan sebaya yang tidak bermoral dan perasaan ingin mencuba perkara baru. Ibu atau bapa tunggal sentiasa sibuk untuk mencari nafkah untuk menyara keluarga, maka ibu atau bapa tersebut tiada masa untuk memantau aktiviti harian anak-anak termasuk pemilihan rakan sebayanya. Sesetengah anak-anak terlibat dengan perkara yang tidak bermoral ini adalah untuk mendapatkan perhatian daripada ibubapa semata-mata. Selain itu, kekurangan kasih sayang daripada ibubapa juga menyebabkan anak-anak mencari kasih sayang diluar rumah seperti mencari teman lelaki dan bersosial dengan rakan-rakan sebaya. Akibat aktiviti bersosial dan pergaulan bebas ini mengundang kepada masalah hubungan seks rambang dan anak luar nikah. Oleh yang demikian, masalah perceraian ibu bapa menyebabkan anak-anak mudah terpengaruh kerana tiada pemantauan dan didikan yang cukup daripada ibu bapa. 

Walaupun begitu, perceraian juga memberi kesan positif kepada sesetengah anak-anak. sebagai contoh, perceraian ibubapa menyebabkan anak-anak menjadi lebih berdikari. Anak-anak yang berfikiran positif akan membina jati diri supaya lebih berdikari dan tidak membebankan ibu atau bapanya yang sedang bermasalah. Selain itu, anak-anak yang tinggal bersama ibu (ibu tunggal disebabkan perceraian) akan berusaha untuk berjaya dan mengubah kehidupan keluarganya menjadi lebih baik. Oleh yang demikian, anak-anak yang menjadi mangsa perceraian juga mampu menjadi anak-anak yang berjaya dan berdikari.    

Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa perceraian berpunca daripada pelbagai faktor dan ia membawa kepada kesan sama ada negatif atau positif. Lazimnya, anak-anak yang menjadi mangsa perceraian menyebabkan pembentukan insaniahnya bersifat negetif. Walaupun begitu, perceraian juga tidak hanya berpunca daripada perkara negatif, tetapi terjadi kerana untuk mengelakkan pasangannya terus menderita diatas perkahwinan tersebut. Namun, perceraian bukanlah salah penyelesaian masalah yang terbaik. Sebagaimana Hadith riwayat daripada Ibnu Umar daripada Nabi Muhammad SAW bersabda, “Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak” (Riwayat Abu Daud dan Hakim). Oleh yang demikian, pasangan suami isteri perlu berusaha mengelakkan perceraian. Pelbagai langkah untuk mengatasi perceraian boleh dilakukan seperti mendalami ilmu agama dan pengetahuan mengenai perkahwinan, mengubah sikap menjadi lebih baik, menghadapi setiap cabaran dan masalah dengan tenang serta memperbaiki komunikasi antara pasangan. Hal ini dapat mengelakkan perceraian berlaku supaya anak-anak tidak menjadi mangsa perceraian. Ibu bapa perlu berusaha membina sebuah keluarga yang sakinah supaya dapat membimbing anak-anak yang baik dan seterusnya dapat membentuk insaniah yang cemerlang.




Bibliografi
Fatin Hafizah Mohd Shahar (2014, Februari 25). Krisis Hadanah Selepas Cerai. Berita Harian, pp.1.

Fariz Sakina Abdullah (2013). Perceraian dan Perpisahan. Kementerian Kesihatan Malaysia. Diakses daripada http://www.myhealth.gov.my/index.php/perceraian-dan-perpisahan pada 14 November 2014.

Fride Hikmet Atak (2014, November 12). Ditegur Suami Penyebab Perceraian Raja Azmi. Mstar Online. Diakses daripada http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2014/11/12/punca-cerai-raja-azmi/ pada 17 November 2014.

Hemananthani Sivanandam, Ng Si Hooi & A. Raman (2014, April 16). Women Being Divorced Over Frivolous Reasons. Star.

Kosmo Online (2012, Februari 8). Rita Enggan Hipokrit. Diakses daripada http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0208&pub=kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm pada 14 November 2014.

Marzulina Omar (2003, November). Perkara Halal Yang Paling Dibenci Allah. Majalah Sinar Rohani.

Mohd Al Qayum Azizi (2014, Februari 18). Erra Fazira Dan Engku Emran Cerai, Suami Dapat Hak Penjagaan Anak. Mstar Online. Diakses daripada http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2014/02/18/erra-fazira--engku-emran-cerai-suami-dapat-hak-penjagaan-anak/ pada 14 November 2014.

Muhd Izawan Baharin, Hayati Ibrahim, Amir Abd Hamid & Mohd Husni Mohd Noor (2014, April 15). Tujuh Perkara Dorong Cerai. Harian Metro, pp.9.

Nurhidayah Hashim (2014, Jun 26). Pasangan Bercerai Patut Utama Kebajikan Anak. Berita Harian, pp.38.

Nooraziah Mohd (2014, Februari 26). Jenayah Aniaya Isteri. Utusan Malaysia, pp.11.

Norsaleha Mohd Saleh (2013). Keluarga Di Syurga:Perceraian Perkara Halal Dibenci Allah. Majalah Iman, hlm.48-49. Bil.31.

Siti Rohani Suriani (2014, Ogos 28). Usah Pandang Serong Perceraian. Berita Harian.

t.n. (2014, Jun 4). Pihak Ketiga Rosak Perkahwinan Boleh Didakwa. Berita Harian. 

t.n. (t.t). Perceraian, Nafkah dan Harta. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993). Diakses daripada http://www.wccpenang.org/files/docs/syariah-divorce-bm.pdf pada 14 November 2014.

Utusan Online (2011, Mac 3). Rekod JAKIM: Setiap 15 Minit Satu Pasangan Bercerai. Diakses daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0304&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm pada 13 November 2014.

Wan Kemat (2014, Mac 25). 25,000 Pasangan Bercerai Setiap Tahun: YADIM. Berita Harian.

Yusman Awang (2012, November 8). Chef Riz Mengaku Sudah Bercerai. Kosmo.



[1]Sumber dipetik daripada Kosmo Online Edisi 8 Februari 2012.

[2]Sumber dipetik daripada Kosmo Online Edisi 8 November 2012.

[3]Sumber dipetik daripada Mstar Online Edisi 18 Februari 2014.

[4] Sumber dipetik daripada Mstar Online Edisi 12 November 2014.

[5] Sumber dipetik daripada Muhd Izawan Baharin, Hayati Ibrahim, Amir Abd Hamid & Mohd Husni Mohd Noor (2014). Harian Metro Edisi 15 April 2014.

[6] Fasakh boleh dipohon jika suami melakukan kesalahan tertentu (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993)).

[7] Taklik adalah perjanjian perkahwinan yang dilafazkan oleh suami semasa akad nikah. Jika suami melanggar taklik, maka hal ini boleh dilaporkan kepada mahkamah. Sekiranya mahkamah mendapati suami mengingkari taklik menyebabkan perkahwinan boleh dibubarkan dengan satu talaq (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993)).

[8] Isteri boleh menawarkan pampasan kepada suami sebagai balasan melafazkan talaq. Jumlah pampasan tertakluk kepada persetujuan isteri dan suami dengan diadili oleh mahkamah (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993)).

[9]Sumber dipetik daripada Berita Harian Edisi 25 Mac 2014.

[10] Sumber dipetik daripada Metro Ahad Edisi 12 Januari 2014. Hlm 18.

[11] Sumber dipetik daripada Muhd Izawan Baharin, Hayati Ibrahim, Amir Abd Hamid & Mohd Husni Mohd Noor (2014). Harian Metro Edisi 15 April 2014.

[12] Sumber dipetik daripada Berita Harian Edisi 4 Jun 2014. Hlm.10. 

[13] Akhlak Rasulullah SAW yang disebutkan dalam al-Qur’an. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang)”  (al-Ahzab, 33:21).

Tuesday 3 December 2013

Tugasan SIW 505: Epistemologi dan Tasawwur Islam - UZLAH: MENGASINGKAN DIRI, SUCIKAN HATI



 UZLAH: MENGASINGKAN DIRI, SUCIKAN HATI

OLEH: NURUL ‘AQIDAH BINTI MOKLIS

P-SM0038/13
Secara umumnya, artikel ini membincangkan tentang uzlah atau mengasingkan diri. Manakala perbincangan khusus artikel ini bertujuan untuk mengupas isu uzlah dari perspektif epistemologi dan tasawur Islam. Artikel ini merangkumi beberapa bahagian iaitu bahagian pengenalan, perbincangan dan rumusan. Bahagian pengenalan artikel ini mendedahkan tentang isu semasa yang berlaku dan punca utama permasalahan tersebut. Bahagian perbincangan meliputi beberapa sub tema seperti definisi uzlah, perbincangan tentang uzlah dari segi epistemologi Islam, jenis-jenis atau pola uzlah serta perbincangan tentang uzlah dari tasawwur Islam yang merangkumi tasawur dari tokoh-tokoh tertentu, manfaat dan juga kesan buruk beruzlah. Kemudian bahagian terakhir artikel ini adalah bahagian rumusan iaitu merumuskan sama ada uzlah dituntut atau ditegah. Hal ini kerana terdapat kritikan daripada beberapa pihak tentang kesan uzlah dalam kehidupan bermasyarakat.


PENGENALAN

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia sentiasa digemparkan dengan berita-berita tentang keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan masyarakat masa kini termasuklah remaja dan keluarga. Antara isu-isu yang kronik seperti isu kehamilan luar nikah yang membawa kepada pembuangan bayi, isu penderaan, gengsterisme dan vandalisme, kes rogol dan sumbang mahram, ketagihan dadah serta jenayah-jenayah lain telah menular dalam kalangan masyarakat masa kini. Apakah puncanya masyarakat masa kini semakin bermasalah? Adakah masyarakat masa kini mudah terpengaruh dengan perkara-perkara kemungkaran? Sehingga perkara ini menyebabkan berlakunya peningkatan dalam isu gengsterisme, vandalism dan ketagihan dadah dalam kalangan remaja. Adakah keluarga dan remaja itu sendiri tidak membatasi diri mereka dalam pergaulan sesama mereka? Jika perkara-perkara ini tidak dijaga dan dibatasi, ia akan cenderung kepada perkara-perkara kemaksiatan seperti kes rogol, sumbang mahram dan membawa kepada kes pembuangan bayi. Walaubagaimanapun, saling menuding jari menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah. Penyumbang utama kepada berlakunya masalah ini adalah berpunca daripada diri sendiri sama ada diri sendiri yang menghampiri kepada perkara-perkara kemungkaran atau kerana terpengaruh dengan kawan sebaya yang membawa kepada keburukan. Maka, salah satu cara untuk mengatasinya adalah dengan beruzlah atau mengasingkan diri daripada perkara-perkara tersebut. Menurut artikel Nyepi dan Uzlah oleh Hariyono Hr (2013) telah mengemukakan satu perbualan antara Abdullah bin Amr Al-Junhani dengan nabi Muhammad S.A.W iaitu Abdullah bin Amr Al-Junhani bertanya,”Ya Rasulullah, bagaimana cara keselamatan itu?”. Baginda menjawab,”Cukuplah engkau tinggal di rumahmu, rawatlah lidahmu (dari  perkataan buruk), dan tangisilah dosamu”.

PERBINCANGAN

Definisi Uzlah

Uzlah bermaksud mengasingkan diri untuk bermunajat kepada Allah S.W.T. Menurut penafsiran Dr.Wahbah Azz-Uhaili dalam artikel Uzlah Menurut Dr Wahbah Azz-Uhaili, tema uzlah di dalam Al-Quran tidak didiskripsikan secara terang dan jelas. Penafsiran uzlah ditunjukkan secara tersirat di dalam beberapa ayat Al-Quran. Sepertimana Allah S.W.T. berfirman yang menerangkan kisah Ashabul khafi iaitu kisah beberapa orang pemuda yang tidur di  dalam  sebuah gua selama bertahun-tahun lamanya dan kisah ini diceritakan dalam surah al-khafi ayat 9 hingga 26:


“Dan apabila kalian meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah S.W.T., maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu nescaya Tuhan kalian akan melimpahkan sebagian rahmat-Nya kepada kalian, dan menyediakan sessuatu yang berguna  bagi kalian  di dalam urusan kalian.” (al-Khafi, 18:16)


Menurut penulisan artikel ‘Uzlah oleh Tiusman Nawawy dan Nurfalah (2011), menyatakan maksud uzlah secara etimologinya bererti ta’azzala ‘an al-syai’ atau menghindar  dari sesuatu. Dalam sumber yang sama, beberapa pandangan daripada tokoh-tokoh juga diambil seperti Al-Jurjani (1983) berpandangan bahawa uzlah bermaksud membebaskan diri dari masyarakat dengan cara menghindarkan diri atau memutuskan hubungan dengan  mereka. Manakala menurut Muhammad Abdullah Darraz (1991) dalam bukunya Dutsur al-Akhlaq fi al-Quran, uzlah merupakan pengasingan diri yang dilakukan oleh  seseorang  ke tempat sunyi, sama ada di dalam kota atau di luar. Berdasarkan pengertian-pengertian ini dapat dirumuskan bahawa uzlah adalah mengasingkan diri dari persekitaran luar dan menyendiri di suatu tempat untuk mendekatkan diri kepada pencipta-Nya. Lazimnya, uzlah berlaku dalam tempoh tertentu dan bukan bersifat selama-lamanya iaitu sehingga seseorang itu telah memperoleh apa yang diingini dan merasa telah mantap jiwanya. Kemudian, dia bersedia untuk kembali berinteraksi dengan masyarakat sekeliling untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dan memberi kebaikan kepada orang lain.


Menurut artikel Kitab uzlah (Menyendiri) dan Pergaulan Bahagian Pengenalan (2011), sesetengah para salaf menggalakkan uzlah kerana apabila beruzlah manusia akan dapat beribadat tanpa  gangguan, diri dan hati juga akan merasa lapang tanpa perlu  berfikir tentang hal-hal lain terutamanya hal-hal keduniaan. Manusia yang beruzlah di jalan Allah S.W.T. akan bertafakur memikirkan hubungan antara dirinya dengan Allah S.W.T., menghisab amalan-amalannya dan mencari matlamat hidupnya di dunia. Secara tidak langsung, para salaf yakin bahawa uzlah dapat menghindar dirinya dari kesibukan yang bertentangan dengan ajaran  Islam. Maka, uzlah dianggap sebagai perbuatan untuk penyucian diri iaitu agama dipelihara, menjauhi diri dari kemungkaran, kemaksiatan dan fitnah dunia.


Sejarah Nabi Muhammad S.A.W Beruzlah Di Gua Hira’

Mengikut sejarah, nabi Muhammad S.A.W juga melakukan uzlah iaitu beruzlah di Gua Hira’ untuk mencari petunjuk dan hidayah. Kemudian, baginda menerima wahyu pertama semasa penguzlahan tersebut sebelum diangkat menjadi rasul. Pada ketika itu, baginda berusia genap 40 tahun dan peristiwa ini berlaku pada hari isnin bersamaan 17 ramadhan. Menurut Dr. Mustafa as-Syibaie dalam penulisannya yang bertajuk sirah Nabi Muhammad S.A.W. Pengajaran dan Pedoman, kisah nabi Muhammad S.A.W beruzlah ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari tentang cara penurunan wahyu dalam Kitab Sahihnya dengan sanad yang bersambung kepada Aishah. Menurut Imam al-Bukhari, nabi Muhammad S.A.W. bermimpi melihat sesuatu seperti cahaya subuh. Atas izin Allah S.W.T, perkara ini telah menimbulkan keinginan baginda untuk beruzlah (bersendirian) iaitu beruzlah di Gua Hira’. Semasa beruzlah, baginda beribadat untuk beberapa malam, kemudian pulang menemui keluarga bagi mengambil bekalan untuk penguzlahan seterusnya. Demikianlah perkara ini berlaku berulang kali sehingga turunya wahyu kebenaran kepada baginda semasa beruzlah di Gua Hira’ melalui malaikat Jibril. Nabi Muhammad S.A.W melalui proses penurunan wahyu apabila disuruh oleh Jibrail supaya membaca apa yang diutuskan olehnya. Namun, baginda menyatakan bahawa baginda tidak tahu membaca. Kemudian, Jibrail mendekati dan mendakap baginda sehingga baginda tidak berdaya. Setelah itu, baginda dilepaskan dan soalan yang sama ditanyakan dan baginda turut memberikan jawapan yang sama. Maka, peristiwa ini berlaku sebanyak tiga kali dan setelah baginda dilepaskan dari dakapan Jibrail untuk kali yang ketiga, baginda membaca utusan tersebut dengan lancar. Perutusan tersebut adalah surah al-Alaq (ayat 1 hingga 5). Manakala dalam riwayat Ibnu Hisyam daripada Ibnu Ishaq iaitu dalam tulisan Dr. Mustafa as-Syibaie yang sama menyatakan bahawa baginda didatangi Jibrail ketika sedang tidur di Gua Hira’ dengan membawa sejenis bekas daripada sutera yang didalamnya adalah sebuah kitab. Pertanyaan dan peristiwa yang sama telah berlaku sebagaimana dalam riwayat Imam al-Bukhari tentang cara penurunan wahyu kepada nabi Muhammad S.A.W. Namun begitu, dalam riwayat Ibnu Hisyam ini, setelah baginda selesai membaca kitab tersebut, baginda terjaga dari tidur dan seolah-olah telah tertulis di dalam hati baginda untuk keluar daripada gua tersebut. Setelah berada ditengah-tengah bukit, baginda terdengar satu suara daripada langit yang menyatakan bahawa nabi Muhammad S.A.W adalah utusan Allah. Dengan berlakunya peristiwa nabi Muhammad S.A.W beruzlah di Gua Hira’ dan penurunan wahyu pertama iaitu surah al-Alaq, maka itu adalah bukti nabi Muhammad diangkat menjadi rasul. Rentetan daripada itu, uzlah telah menjadi amalan ikutan oleh  sesetengah Ulama untuk mencari ketenangan dan petunjuk.


Uzlah Berdasarkan Epistemologi Islam

Secara epistemologinya, penguzlahan nabi Muhammad S.A.W. di Gua Hira’ bermula dengan baginda mendapat mimpi baik semasa tidur. Mimpi ini merupakan petunjuk daripada Allah S.W.T supaya baginda melakukan uzlah untuk menenangkan fikiran dan menjauhi kemungkaran. Pada masa yang sama, masyarakat di kota Mekah pada ketika  itu hidup dalam keadaan jahiliah. Masyarakat jahiliah sering melakukan perbuatan yang sia-sia seperti suka berfoya-foya, meminum arak dan menyembah berhala menyebabkan nabi Muhammad S.A.W. mengambil keputusan mengasingkan diri dari masyarakat sekeliling. Tindakan baginda beruzlah adalah untuk mengelakkan diri daripada perbuatan jahil masyarakat tersebut. Baginda berfikir tentang cara kehidupan yang sedang diamalkan oleh masyarakat dan dalam masa yang sama baginda kebingungan  mencari kebenaran mengenai tuhan pencipta alam. Maka, melalui mimpi baik tersebut baginda mengambil keputusan untuk beruzlah. Dengan beruzlah baginda merenung, berfikir dan bertafakur dengan tenang tanpa gangguan selama beberapa malam di Gua Hira sehinggalah peristiwa penurunan wahyu surah al-Alaq (94:1-5) oleh Allah S.W.T. kepada baginda melalui malaikat Jibrail. Peristiwa ini menunjukkan bahawa nabi Muhammad S.A.W memilih uzlah dengan menjauhkan diri daripada hal-hal dunia untuk mencari hidayah, ilham dan ketenangan yang hakiki. Baginda beruzlah bukan dengan niat untuk menghindari kaum kerabat atau masyarakat tetapi baginda beruzlah adalah untuk menghindari perkara yang jahil pada ketika itu. Baginda bertafakur dan beribadat untuk menyucikan hati dan diri. Malahan, keluarga baginda menjadi penyokong penguzlahan baginda. Buktinya, isteri baginda iaitu Siti Khadijah akan menghantarkan bekalan-bekalan untuk keperluan sepanjang baginda beruzlah. Oleh yang demikian, ramai golongan ulama' yang mencontohi amalan uzlah ini untuk menilai dan mencari ketenangan jiwa serta menyucikan hati. Kebanyakan golongan ini mengambil tindakan untuk mengasingkan diri adalah untuk memperbaiki peribadi dengan menghisab diri sendiri dalam keadaan sunyi, tenang dan tanpa gangguan serta jauh daripada hal-hal keduniaan seperti kemewahan, kesenangan dan perkara-perkara yang melalaikan.



Pola Atau Jenis-Jenis Uzlah

Menurut analisis oleh Tiusman Nawawy dan Nurfalah (2011) dalam artikel bertajuk ‘Uzlah menyatakan bahawa dalam kitab Mi’rajussalikin, telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali (1995) bahawa uzlah mempunyai 2 pola atau jenis iaitu ‘Uzlah Faridah iaitu uzlah (menghindar) dari segala keburukan dan golongan buruk yang lain, dan ‘Uzlah Fadilah iaitu uzlah yang dilakukan untuk mengelakkan daripada segala unsur berlebih-lebihan dan perkara yang berkait dengannya.


‘Uzlah Faridah atau menghindar dari segala keburukan dan golongan buruk yang lain termasuklah dalam konteks uzlah dalam berkawan. Sebagai contoh, mengasingkan diri atau menghindar daripada sebilangan kawan yang memberi pengaruh buruk dan membawa kepada perkara-perkara mazmumah merupakan salah satu ‘Uzlah Faridah dengan memilih kawan yang tertentu. Menurut sabda nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:


“Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah dan bersikap bijaksanalah dalam  memilih sahabat.” (Riwayat Ahmad)


Tambahan lagi dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud:


“Kecelakaan besarlah bagiku sekiranya aku (dulu) telah menjadikan si polan  itu  rakan  akrab. Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Quran ketika al-Quran itu telah datang kepadaku.” (al-Furqan, 25:28-29)


Allah S.W.T. memperingatkan hamba-hambanya supaya sentiasa memilih kawan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan memberi kebaikan kepada orang lain agar orang lain tidak menuju kepada kemusnahan dan jauh dari tuhan akibat salah berkawan. Maka manusia perlu melakukan ‘Uzlah Faridah untuk memilih kawan yang dapat memberi manfaat dan kebaikan dunia dan akhirat. Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:


“(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan diantara satu sama lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (az-Zukhruf, 43:67)


Secara jelasnya, kawan  yang membawa kepada kebaikan dan ketaatan kepada Allah S.W.T merupakan orang yang dituntut untuk berkawan. Kawan yang paling baik adalah apabila melihat wajahnya orang lain akan mengingati Allah, mendengar kata-katanya dapat menambahkan  ilmu agama dan melihat gerak-gerinya mengingatkan orang lain kepada kematian. Ciri-ciri kawan yang seumpama ini yang akan membimbing orang lain melakukan kebaikan di atas kebaikan yang dia lakukan. Sabda nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:


“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” (Riwayat Abu Daud)


Sebaliknya, mempunyai kawan yang membawa kepada kelalaian, kemudaratan dan lebih banyak mendatangkan kemungkaran daripada kebaikan, maka sebaiknya beruzlah dengan kawan tersebut. Berdasarkan kepada isu masyarakat masa kini terutamanya‘Uzlah Faridah, maka mereka dapat menghindar diri daripada perkara yang tidak bermoral dan berakhlak ini. Seterusnya, isu keruntuhan akhlak di Malaysia dapat dibendung.


Selain itu, ‘Uzlah Fadilah pula adalah mengasingkan diri daripada melakukan sesuatu perkara secara berlebih-lebihan. Seseorang itu perlu mengasingkan diri supaya tidak terjebak daripada perkara-perkara ujub atau riak atau perkara buruk yang lain dengan membataskan diri daripada pergaulan yang berlebih-lebihan kerana jika ia berlanjutan dikhuatiri akan membawa kepada perkara-perkara yang lebih buruk dan  teruk. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:


“Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum pada diri sendiri).” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)


‘Uzlah Fadilah dapat mengajar manusia untuk menahan dan melawan hawa nafsu daripada terus melakukan kemungkaran. Maka, melalui uzlah manusia itu dapat menghindari diri daripada fitnah dan permusuhan serta jauh daripada kejahatan manusia itu sendiri. Apabila beruzlah, seseorang itu mengasingkan diri daripada manusia lain untuk bertafakur dan bermunajat kepada Allah S.W.T. Menurut Dr.‘Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya Lah Tahzan yang diterangkan dalam artikel Manfaat Ber’uzlah oleh Qurratulaini (2008) mengemukakan bahawa dengan beruzlah seseorang itu dapat menghindari diri dari sikap terlalu berlebihan dalam menjaga penampilan diri dan berbicara. Uzlah juga mengelakkan diri daripada terpengaruh kepada budaya dan bentuk kehidupan orang lain serta bermewah-mewahan. Perkara ini boleh membawa kepada perasaan iri hati dan seterusnya hasad dengki yang akan memudaratkan sesama manusia. Menurut Dr. ‘Aidh lagi, beruzlah dapat menyelamatkan diri daripada bercerita tentang keburukan diri sendiri dan orang lain. Jika ia berlebihan, maka ia akan membawa kepada fitnah atau mengada-gadakan cerita sehingga membuka aib orang lain dan memalukannya. Perbuatan ini akan merosakkan agama dan akhlak akibat melakukan perkara yang sia-sia. Oleh itu, ‘Uzlah Fadilah merupakan jalan yang terbaik bagi mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam fitnah dunia dengan membatasi pergaulan yang berlebih-lebihan.


Selain itu, dalam konteks masyarakat kini yang semakin melupakan batas-batas dalam pergaulan, mereka seharusnya memahami makna uzlah dalam kehidupan masa kini terutamanya ‘Uzlah Fadilah supaya tidak berlebih-lebihan dalam pergaulan. Disebabkan mereka tidak memahami dan mengamalkan kosep ‘Uzlah Fadilah, maka kebanyakan mereka mudah terjebak kepada perbuatan maksiat dan seterusnya berlaku peningkatan kes-kes keruntuhan moral di Malaysia.


Konsep Uzlah Dari Tasawwur Islam

Menurut Hariyono Hr (2013) dalam artikel Nyepi dan Uzlah, antara golongan ulama' yang menyukai uzlah berbanding bergaul adalah seperti Sufyan Ats-Tsauri, Ibrahim bin Adham, Dawud At-Tha’iy, Al-Fudhail bin Iyadh, Sulaiman Al-Khawash dan Basyar Al-Hafi. Menurut kitab Bimbingan Mukmin ringkasan daripada Kitab Ihya’ Ulumuddin’ Al-Ghazali terjemahan Ustaz Johari Yaman dan Ustaz Azhari Hj. Ibrahim (2009), uzlah dari tasawwur kalangan ulama’ ini berpendapat bahawa uzlah dilakukan untuk menghindari diri dari melakukan kemungkaran dan perbuatan dosa dengan mengasingkan diri daripada orang ramai. Tujuannya adalah untuk menghidupkan jiwa dan menyucikan fikiran daripada pengaruh-pengaruh yang dapat merosakkan fikiran. Mengasingkan diri juga dapat mengelakkan diri dari untuk tidak melakukan perkara yang cenderung kepada perbuatan terlarang seperti riak, ghibah dan perkara-perkara maksiat. Oleh itu, bagi golongan ulama’, uzlah mampu menjadikan fikiran manusia tenang dan luas jangkauannya, membersihkan jiwa, mententeramkan hati, sentiasa memikirkan kebesaran kuasa Allah S.W.T dan mensyukuri nikmat. Uzlah juga dapat membersihkan jiwa dari melakukan dosa-dosa kecil dan dapat menjauhi diri dari mendekati dosa-dosa besar.


Selain itu, dalam artikel Manfaat Ber’uzlah oleh Qurratulaini (2008) mengemukakan uzlah mengikut tasawur Dr.‘Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya  Hakadha Haddathana al-Zaman yang bermaksud beginilah zaman memotivasikan kita adalah untuk meningkatkan tahap perhambaan jiwa manusia kepada tuhannya iaitu dengan membaca al-Quran dan menghayatinya, merenung dan memikirkan perkara yang bermanfaat, berzikir, menginsafi diri dan bertaubat, mensyukuri nikmat serta memohon perlindungan. Dengan beruzlah seseorang dapat menjauhi diri dari fitnah, pelbagai bencana akibat kesilapan dan kecuaian manusia, perbuatan yang tidak matang, lemah fikiran dan lalai. Perkara-perkara ini jika tidak dijauhi boleh menyebabkan berlakunya bencana yang membawa kepada pertumpahan darah, perselisihan, kehilangan harta benda dan merubah keadaan menjadi lebih teruk.


Antara manfaat beruzlah adalah penyucian secara menyeluruh termasuk diri, fikiran dan perasaan daripada perkara-perkara mungkar. Uzlah dapat menyebabkan seseorang itu lebih tenang semasa menghadap tuhan, lebih khusyuk dalam beribadah dan lebih luhur menutur doa. Dengan beruzlah, seseorang dapat memenangkan hati dan fikiran, memantapkan keimanan dan ketakwaan serta rasa syukur kepada pencipta alam. Fikiran yang buntu dan celaru juga jadi tenang dan penuh ilham.


Namun begitu, menurut Dr.H.Harapandi Dahri, M.Ag (2013) dalam artikel Kritik dan Relevansi Uzlah Di Zaman Moden menyatakan bahawa konsep uzlah juga telah dikritik oleh sesetengah para ulama’ antaranya Sa’id bin al-Musayyab, al-Sya’bi, Hisyam bin ‘Urwah dan Syuraik bin Abdillah. Golongan ini menyatakan bahawa amalan uzlah tidak sesuai dengan ajaran Islam kerana Islam menggalakkan pergaulan sesama manusia dalam bentuk hubungan persaudaraan. Jika amalan uzlah dilakukan maka manusia yang terbentuk adalah manusia yang suka mengasingkan diri dan menjauhi pergaulan. Oleh itu, ilmu dan dakwah tidak dapat disebarkan. Sabda nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:


“Barangsiapa yang boleh memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya.”


Golongan ini lebih menggalakkan pergaulan dan menjalinkan hubungan persaudaraan untuk tujuan tolong-menolong dalam menjaga kebajikan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T iaitu saling mengingati, memberi nasihat dan memberi tunjuk ajar. Golongan ini juga berpegang kepada sabda nabi Muhammad S.A.W yang melarang manusia untuk menghindari dari bergaul sesama manusia. Dengan kata lain, manusia itu perlu menjaga hubungannya dengan manusia iaitu Hablumminannas selain dari menjaga hubungan dengan Allah S.W.T ataupun Hablumminallah.


Tambahan maklumat berdasarkan artikel yang sama menyatakan bahawa  menurut Hujjat al-Islam Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulumiddin dan Abu Qudamah (dalam kitab Mukhtasar Minhaj al-Qashidin), mengatakan beberapa aspek negatif dalam beruzlah. Antaranya adalah orang yang melakukan uzlah tidak dapat terlibat dalam proses belajar dan mengajar. Pengasingan diri daripada masyarakat sekeliling menyebabkan orang yang beruzlah tidak dapat belajar daripada orang lain dan mengajar kepada orang lain. Walaubagaimanapun, proses pembelajaran boleh berlaku semasa beruzlah namun ia hanya melibatkan pembelajaran dengan alam sekeliling dan bukan daripada interaksi sesama manusia. Jadi, proses pembelajaran ini tidak akan difahami oleh orang lain selain daripada dirinya sendiri.


Selain itu, beruzlah menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengambil dan memberi manfaat kepada orang lain. Manfaat daripada beruzlah hanya dapat dirasai oleh individu tersebut kerana mereka bermunajat kepada Allah untuk mencari ketenangan hati dan fikirannya. Ia sama sekali tidak melibatkan orang lain dan sekeliling. Walaupun hatinya tenang tetapi ia tidak akan membawa ketenangan kepada orang lain. Maka, manfaat uzlah tidak tersebar kepada orang lain sedangkan dalam Islam manusia itu dituntut untuk saling memberi kebaikan sesama manusia. Sebagaimana sabda nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:


“Sebaik-baik manusia diantara kalian adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”


Uzlah juga dianggap tidak dapat melatih diri sendiri dan membimbing orang lain serta tidak dapat merasakan erti tawadhu’. Orang yang melakukan uzlah akan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T tanpa memikirkan hal-hal lain. Maka, perhubungan dengan orang lain atau sesama manusia adalah terbatas dan terputus semasa beruzlah. Akibatnya, penyebaran pengetahuan, perkongsian ilmu dan sifat bantu-membantu sesama manusia menjadi terhad. Tawadhu’ atau rasa rendah diri, tenang dan berusaha menjauhi perbuatan takabbur (sombong) sesama manusia tidak dapat diwujudkan jika manusia itu sendiri tidak berinteraksi sesama mereka. Sebagai contoh tiada pergaulan bersama, tiada perkongsian dan pemberian serta tiada komunikasi dalam berukhuwah. Maka, sifat tawadhu’ itu tidak dapat dirasai dan dinikmati atau mungkin sifat takabbur itu telah wujud tanpa disedari. Iyadh bin Himar ra. berkata, sabda nabi Muhammad S.A.W bermaksud:


“Bertawadhu’lah hingga seseorang tidak menyombongkan diri terhadap lainnya dan seseorang tidak menganiaya terhadap lainnya.” (Riwayat Muslim)


Walaupun begitu, kritikan ini ditujukan kepada orang yang berlebih-lebihan (ghalath) dalam uzlah sehingga tidak mempedulikan keadaan sekeliling dan orang lain. Secara keseluruhannya, punca utama uzlah dikritik adalah disebabkan tiada komunikasi dan interaksi sesama manusia semasa beruzlah. Matlamat asal uzlah adalah menyucikan diri dan hati serta mencari ketenangan dengan mengasingkan diri. Tetapi jika ia dilakukan secara berlebihan sehingga menimbulkan rasa takabbur dalam diri seseorang serta mengabaikan hubungan sesama manusia (Hablumminannas), maka matlamat asal uzlah telah tersasar. Sesungguhnya, hubungan dengan Allah penting untuk dijaga, begitu juga hubungan antara manusia dengan manusia kerana umat Islam sekalian adalah bersaudara sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud:


“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Kerana itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah S.W.T., supaya kamu mendapat rahmat.”


Menyingkap sirah nabi Muhammad S.A.W yang beruzlah di Gua Hira’, tujuan utamanya adalah untuk mencari ketenangan dan petunjuk dari tuhan sebelum baginda diutuskan menjadi rasul. Baginda juga beribadat dengan cara bertafakkur kepada tuhan. Maka, uzlah yang sebenar adalah berniat untuk menjauhi manusia yang membawa kepada kejahatan dan mendekatkan diri mengingati Allah S.W.T. dengan hati yang penuh tawadhu’ memohon pengampunan. Uzlah dilakukan dengan bertafakkur dengan segala nikmat dan anugerah yang diberikan, merenung setiap keagungan dan kebesaran ciptaan-Nya di semesta alam serta perbanyakan zikir yang merupakan perantaraan antara hati dengan lidah dalam mengingati Allah S.W.T. Maka, itu adalah uzlah sebenar dalam menyucikan diri, hati dan fikiran. Menurut Imam al-Sathibi di dalam Kitabnya Al-Mumabhikat yang dinyatakan daripada artikel Yakinlah pada Allah, Beruzlah kuncinya oleh Wan al-Jarumy (2010), terdapat dua golongan muslimin iaitu muslimin awam dan muslimin yang tertentu. Muslimin awam adalah muslimin yang melakukan segala suruhan Allah kerana keislamannya. Manakala muslimin yang tertentu pula adalah muslimin yang melaksanakan suruhan Allah S.W.T kerana dorongan untuk melakukannya dengan memahami apa yang dilakukannya. Dalam konteks uzlah, lakukan uzlah sebagai seorang muslimin tertentu dengan niat beruzlah untuk medapatkan keredhaan Allah S.W.T dan menjadi muslimin yang memberi kebaikan kepada orang lain.


KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan dalam artikel ini, dapat disimpulkan bahawa uzlah itu dituntut dalam Islam kerana nabi Muhammad S.A.W. juga beruzlah untuk menenangkan fikiran dan mencari petunjuk. Uzlah juga dapat memberi kebaikan kepada orang lain jika proses pembelajaran yang diperolehi oleh seseorang yang beruzlah itu dikongsi sebagai tarbiyah untuk dirinya dan orang lain. Namun, beruzlah bukan bermaksud meninggalkan terus perkara-perkara dunia dan tidak mempedulikan orang lain seperti keluarga dan masyarakat sekeliling. Bersederhana dalam setiap tindakan supaya tidak menimbulkan keburukan. Uzlah bukan bersifat selamanya tetapi hanya dalam tertentu atau sementara. Beruzlah secara berlebihan sehingga membawa kepada keburukan maka itulah perkara yang dikhuatiri oleh sebahagian para ulama. Oleh itu, uzlah itu bukan ditegah tetapi dituntut mengikut syariat-syariat Islam kerana uzlah adalah sebagai Tazkiyatul Nafs (penyucian jiwa) dan bukan pengasingan diri semata-mata. Tambahan lagi, beruzlah itu untuk mengelakkan kemungkaran dan menjauhi keburukan untuk menjadi seseorang yang lebih baik.




BIBLIOGRAFI

Al-Jurjani, & Syarif Ali Muhammad. (1983). Kitab al-Ta’rifat. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah. Diambil daripada http://verstehn.wordpress.com/2011/04/17/uzlah/

 Abdul Mu’thi Sutarman. (2012, Januari 31). Pengertian Salaf Secara Istilah. Diambil daripada http://ilmucahayakehidupan.wordpress.com/2012/01/31/pengertian-salaf-secara-istilah/

Amiene Rev. (2009, Januari 21). Persahabatan Menurut Al Hadis dan Al Quran. Diambil daripada http://dukeamienerev.blogspot.com/2009/01/hadis-ayat-quran-kawan-persahabatan.html

Faiz As-Syirazi. (2013). Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki. Diambil daripada http://faizassyirazi.blogspot.com/2013/05/uzlah-tinjauan-dari-perspektif-ulama.html

Dewi Yana. (2009, Jun 9). Tawadhu’(rendah hati). Diambil daripada http://jalandakwahbersama.wordpress.com/2009/06/09/tawadhu-rendah-hati/

Harapandi Dahri.  (2013, Januari 11). Kritik dan Relevansi Uzlah Di Zaman Modern. Diambil daripada http://sang-salik.blogspot.com/2013/01/kritik-dan-relevansi-uzlah-di-zaman.html

Humasunjani. (2013, Julai 17). Kewajiban Manusia Menjalin Silaturahim (Hablumminannas) oleh Dr. H Toto Saputra, Ir., MM. Diambil daripada http://www.unjani.ac.id/berita-260-kewajiban-manusia-menjalin-silaturahim-hablumminannas--oleh-dr-h-toto-saputra-ir-mm-.html  

Hariyono Hr. (2013). Nyepi dan Uzlah. Diambil daripada http://filsafat.kompasiana.com/2013/03/12/nyepi-dan-uzlah-542019.html

Imam Al Gazali - Keharusan 'Uzlah dan Khalwah. (n.d.). Dalam Kitab Mi'raj as-Salikin, Imam Al Gazali. Diambil daripada http://www.alfalah2.sch.id/index.php/en/artikel/121-test-feed/510-imam-al-gazali-keharusan-uzlah-dan-khalwah.html 
Imam al-Ghazali. (2009). Kitab Bimbingan Mukmin. Ringkasan Ihya' Ulumuddin. Terjemahan Johari Yaman dan Azhari Haji Ibrahim. Kuala Lumpur: Nadi Minda Resources. 

 Kitab Uzlah (menyendiri) dan Pergaulan – Pengenalan. (2011). Diambil daripada http://ibadurrahman99.wordpress.com/2011/10/03/kitab-uzlah-menyendiri-dan-pergaulan/

Mashadi. (2011, Julai 14). Dampak Buruk Akibat Uzlah : Buta Terhadap Kadar Kemampuan Pribadi. Diambil daripada http://www.eramuslim.com/manhaj-dakwah/gagalnya-dakwah/dampak-buruk-akibat-uzlah-buta-terhadap-kadar-kemampuan-pribadi.htm

Muhammad Abdullah Darraz. (1991). Dustur al-Akhlaq fi al-Quran. Beirut: Muassasah al-Risalah. Diambil daripada http://verstehn.wordpress.com/2011/04/17/uzlah/

 Manhaj Salafy. (n.d.). Sumber asal : Hakikat Dakwah Salafiyah oleh Al Ustadz Abu Muhammad Dzulqarnain. Diambil daripada http://tabayyun.wordpress.com/manhaj-salafy/

 Mustafa as-Syibaie. (n.d.). Sirah Nabi Muhammad S.A.W. Pengajaran dan Pedoman. Diambil daripada  http://www.academia.edu/4904140/SIRAH_NABI

Nawawi Subandi. ( 2008, Februari 13). Manhaj/Prinsip Generasi Awal (Salafus Soleh) Dalam Mengambil Aqidah, Ibadah, dan Agama. Diambil daripada http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2008/02/044-kepentingan-mengikut-prinsipmanhaj.html

Qurratul Aini. (2008, Ogos 2). Manfaat Ber’uzlah. Diambil daripada http://qurratulaini.wordpress.com/2008/08/02/manfaat-beruzlah/

 Sirah Dan Sejarah Nabi Muhammad S.A.W. (n.d.). Diambil daripada http://cahayapurnama.com/sirah-dan-sejarah-nabi-muhammad-s-a-w/

Tiusman Nawawy, & Nurfalah. (2011, April 17). Analisis ‘Uzlah|Verstehn (analisis). Biografi: kesendrian. Diambil daripada http://verstehn.wordpress.com/2011/04/17/uzlah/

Uzlah Orang Biasa. (2011, April 11). Diambil daripada http://salman-room.blogspot.com/2011/03/uzlahkan-hatimu.html

Uzlah menurut Dr Wahbah Az-Zuhaili. (n.d.). Diambil daripada http://nurulwatoni.tripod.com/UZLAH.htm

Wan al-Jarumy. (2010). Artikel Yakinlah pada Allah, Beruzlah kuncinya. Diambil daripada http://al-jarumi.blogspot.com/2010/04/yakinlah-pada-allah-beruzlah-kuncinya.html
Zahar. (2010). Uzlah (Menyendiri). Diambil daripada http://rijalunsodaqu.wordpress.com/2010/04/03/uzlah-bersendiri/